MELAKA: Sebanyak 20 tukun tiruan yang bakal dilabuhkan di sekitar perairan Pantai Puteri dan Pantai Kundor di sini tidak lama lagi, bakal menoktahkan isu kekurangan hasil tangkapan yang dihadapi kira-kira 300 nelayan di situ.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, tukun berukuran satu meter tinggi dan satu meter lebar dengan berat 700 kilogram (kg) setiap satu itu telah mendapat kelulusan SIRIM Berhad, seterusnya menjamin ia selamat untuk persekitaran marin.
Ujarnya, usaha melabuhkan tukun tiruan adalah perlu selepas kajian dijalankan sekumpulan pengkaji dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada awal 2023 mendapati, sumber makanan ikan seperti plankton dan sebagainya sudah hampir pupus.
“Kajian yang dijalankan sekumpulan profesor dan penuntut UPM pada awal 2023 selama sebulan menemui beberapa faktor berlakunya kekurangan ikan di perairan Pantai Kundor sehingga menerima rungutan nelayan.
“Kajian itu telah dijalankan di sepanjang kawasan Pantai Puteri hingga ke muara Sungai Lereh dan mendapati, sumber makanan ikan seperti plankton dan sebagainya sudah hampir pupus menyebabkan ikan di sini semakin berkurangan,” katanya.
Tambah Tuminah, isu itu juga telah dibawa kepada perhatian kepemimpinan kerajaan negeri iaitu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, tahun lalu.
“Saya amat positif apabila tukun ini dilabuhkan kelak, ia dapat membantu pembiakan ikan di perairan ini. Sekali gus membawa sinar baharu kepada nelayan untuk menjana pendapatan seperti dinikmati sebelum ini,” ujarnya.
Jelasnya, perancangan awal menjadualkan tukun berkenaan sepatutnya dilabuhkan bulan lalu, tetapi terpaksa ditunda selepas mengambil kira beberapa faktor perundangan yang perlu diselesaikan. – UTUSAN











