KUALA LUMPUR: Tujuh anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) direman antara lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melindungi premis perniagaan yang beroperasi secara haram.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Amira Abd Aziz hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siaran mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini menaiki van SPRM dan memakai baju baju lokap SPRM, pada pukul 9.55 pagi.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa penguatkuasa sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) berumur lingkungan 30 sehingga 40 tahun ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis-premis perniagaan di sekitar ibu negara yang beroperasi secara tidak sah dan menggajikan warga asing.
Semua individu berkenaan ditahan di sekitar ibu negara menerusi Op Orange, semalam.
Menurut sumber, hasil risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak enam bulan lalu mendapati, mereka menerima rasuah kira-kira RM12,000 daripada pemilik premis terbabit.
Wang rasuah yang diterima sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan ke atas premis-premis berkenaan yang bukan sahaja menggunakan lesen ali baba, sebaliknya kerana kesalahan menggaji warga asing sebagai pekerja.
Kegiatan itu dikesan menerusi risikan dijalankan SPRM sejak enam bulan lalu. Hasil tangkapan itu, wang tunai kira-kira RM40,000 turut disita. – UTUSAN










