KUALA LUMPUR: Trend calon tidak menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Menengah (SPM) di bawah sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan penurunan tahun lalu kepada 8,676 daripada 10,160 jumlah keseluruhan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding 13,227 calon pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, penurunan itu hasil inisiatif diambil pihak kementerian agar jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM terus menurun.
Inisiatif itu antara lain mengambil kira faktor dan sebab seseorang calon itu enggan menduduki peperiksaan berkenaan.
“Catatan menunjukkan sekolah di bawah KPM iaitu sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, jumlah yang tidak menduduki SPM adalah sebanyak 8,676 daripada 10,160, penurunan berbanding tahun 2022 di mana sebanyak 13,227 calon di bawah sekolah KPM tidak menduduki SPM.
“Kementerian akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kehadiran anak kita ke SPM seperti yang didaftarkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kah Woh menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff yang meminta kementerian menyatakan apakah usaha yang sedang dilaksanakan dalam memastikan pelajar-pelajar menduduki peperiksaan SPM.
Mengulas lanjut, Kah Woh memaklumkan, KPM sedang meneliti cadangan bagi mewajibkan sistem persekolahan sebagai langkah menangani keciciran di peringkat menengah.
Kata beliau, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan cadangan itu akan dibawa ke Parlimen selepas keputusan muktamad mengenainya diputuskan.
“Saya nak nyatakan yang kita kini sedang meneliti perkara tersebut.
“KPM juga sedang berusaha mengatasi masalah keciciran murid-murid di luar bandar dan Orang Asli melalui pelaksanaan operasi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9).
“(Di bawah pelaksanaan sekolah berkenaan) anak kita belajar di bawah satu bumbung sehingga tingkatan tiga. (Model sekolah itu) sedang giat diperluaskan sehingga K11 dan tahun ini kita ada empat sekolah K11 yang beroperasi,” katanya. – UTUSAN










