Tiga warga asing didakwa culik lelaki Bangladesh

Tiga warga asing didakwa culik lelaki Bangladesh

DUA lelaki Bangladesh (dua dari kiri dan dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan cuba menculik seorang lagi lelaki warga Bangladesh pada 21 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang lelaki Bangladesh, 21 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu Md. Jalis Mahamud, 29, Md. Mamun Hosen, 22 dan Khang Khin Tun, 26 ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dengan niat bersama telah menculik Mohamad Kabir Husin dengan tujuan menuntut wang tebusan berjumlah 5 juta Bangladesh Taka atau bersamaan RM200,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Jun lalu, kira-kira pukul 6.03 petang, di hadapan Maybank di Komtar, di sini.

SEORANG wanita warga Myanmar (berbaju putih) turut didakwa kerana terlibat dengan kes penculikan seorang lelaki warga Bangladesh pada 21 Jun lalu

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes dengan kehadiran jurubahasa dari Bangladesh dan Myanmar. Tiada jaminan juga ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan, polis telah menahan lima lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan kejadian culik melibatkan seorang lelaki senegara pada 21 Jun lalu.

Kesemua yang berusia 20 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan di Shah Alam, Selangor hasil maklumat awam dan risikan.

Polis yang menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 50-an yang bekerja sebagai tukang cuci di bandar raya ini memaklumkan bahawa dia menerima panggilan telefon daripada suspek meminta wang tebusan RM200,000 jika mahu anak lelakinya yang diculik selamat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN