PETALING JAYA: Tiga remaja yang melakukan lagak samseng jalanan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, dekat sini, ditahan polis, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman.
Katanya, tangkapan pertama pada 12.30 tengah malam membabitkan dua penunggang motosikal berusia 18 tahun.
“Seorang lagi berusia 17 tahun ditahan setengah jam kemudian di lokasi berasingan.
“Ketiga-tiga mereka ini dikesan melakukan aksi Superman dan bersaing sesama sendiri.
“Aksi itu jelas membahayakan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda EX5 telah disita.
Katanya, ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.- UTUSAN









