ALOR SETAR: Tiga penyokong pasukan bola sepak JDT didenda RM100 seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membakar suar di perkarangan Stadium Darul Aman, Jumaat lalu.
Dua tertuduh, Jalali Hamid, 47, dan Mohd. Faizol Mohd. Sapian, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zul Hilmi Latif, manakala Mohamad An’naffi Sahid, 34, membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membakar suar selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di pekarangan Stadium Darul Aman, pada pukul 10.45 malam, 19 Julai lalu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz dan J. Banusha di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan atau kedua-duanya sekali.
Jalali dan Mohd. Faizol diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tasha Farha Mohamad Nizam manakala Mohamad An’naffi diwakili seorang lagi peguam YBGK, H.A Chuah.
Ketiga-tiga mereka didenda RM100 dengan Jalali serta Mohd. Faizol turut diarahkan menjalani hukuman penjara 15 hari jika gagal melunaskan denda, manakala Mohamad An’nafi diperintahkan untuk dipenjara 14 hari jika gagal berbuat demikian.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis telah melihat tertuduh menyalakan suar di tempat letak bas penyokong JDT di pekarangan stadium berkenaan.
Tertuduh kemudiannya diarahkan untuk memadamkan suar tersebut, sebelum diperiksa dan ditahan untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Majistret Zul Hilmi mengingatkan Jalali dan Mohd. Faizol bahawa kesalahan itu bukan perkara ‘main-main’ dan akan menjatuhkan hukuman penjara maksimum sekiranya melakukan kesalahan sama.
Kesemua tertuduh membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar. -UTUSAN











