PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Azlee Jaafar, menafikan dakwaan kononnya dia sengaja menagih sumbangan orang ramai ketika diuji serangan jantung, baru-baru ini.
Menegaskan tidak pernah meminta wang daripada mana-mana pihak, Azlee atau Muhammad Azlee Jaafar, 57, berharap agar masyarakat tidak mempertikaikan bantuan yang diperolehinya.
“Saya langsung tidak hubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tapi, tiba-tiba setiausaha politiknya datang ziarah. Saya rasa mereka akan ziarah mana-mana artis yang sakit atau susah.
“Bila ada yang prihatin dan datang rumah untuk bagi sumbangan, saya anggap
mungkin mereka hargai penat lelah saya yang pernah menceriakan mereka suatu masa dulu.
“Jika ada beranggapan tidak perlu terima sumbangan, sama juga dengan buat majlis kahwin, tidak perlulah kita terima sumbangan semasa salam kaut,” katanya yang ditemui pada majlis pra tonton filem Saka Perawan baru-baru ini.
Azlee mengulas tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan bantuan yang diterimanya selepas ahli kumpulan Senario itu mengalami serangan jantung, baru-baru ini.
Tidak tersinggung, Azlee berpandangan mungkin ada pihak yang salah tafsir kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini mengenai jumlah wang yang diperoleh hasil siaran langsung di aplikasi TikTok.
“Saya selalu terima mesej di TikTok, ramai yang meminta wang. Sebenarnya kenyataan saya adalah satu bentuk sindiran di mana jika mereka rajin buat siaran langsung, mereka boleh menjana wang sehingga RM15,000.
“Dengan itu, tidak perlu lagi mereka meminta-minta. Tapi rupanya, ada yang salah faham mengatakan itulah jumlah pendapatan saya bagi sebulan.
“Sedangkan saya banyak pekerjaan seperti membuat persembahan konsert dan menjadi pengacara. TikTok bukanlah satu-satunya mata pencarian saya ,” jelasnya.
Sebelum ini, Azlee dikejarkan ke Institut Jantung Negara kerana mengalami serangan jantung.
Selepas stabil, Azlee dilaporkan keluar dari pusat perubatan lebih awal kerana tidak mahu kos rawatan meningkat.
Azlee turut menerima bantuan daripada beberapa pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan melalui setiausaha politiknya, Farhan Fauzi.










