PETALING JAYA: Mahu hidup bebas dan fleksibel dalam kehidupan berumahtangga antara alasan pasangan suami isteri enggan mempunyai anak.
Pensyarah Kanan Antropologi dan Sosiologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Khairuddin Mohad Sallehuddin berkata, masih ramai yang tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab disebabkan kesibukan bekerja dan mahu hidup tenang tanpa komitmen anak.
“Pasangan terlibat mahukan kebebasan dan fleksibiliti dalam hidup seperti melancong, melakukan hobi atau menjalani gaya hidup yang mereka sukai tanpa tanggungjawab tambahan.
“Ini kerana, jika mempunyai anak pasangan tersebut memerlukan komitmen kewangan yang besar seperti kos pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan harian anak yang boleh menjadi beban kewangan yang ketara,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, kekurangan zuriat secara global berpunca daripada kesuburan lelaki yang terganggu akibat pemakanan dan persekitaran yang tidak kondusif termasuk pencemaran alam sekitar.
Di negara ini, purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita adalah 1.6 anak pada 2022 berbanding 2.1 anak pada 2020.
Kadar kelahiran di negara ini hampir menyamai beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (1.7 anak), Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.6 anak), Jepun (1.3 anak) dan Korea Selatan (0.8 anak).
Malah Mohd Khairuddin menjelaskan, dengan kemajuan dalam teknologi reproduksi dan kontrasepsi, pasangan mempunyai lebih banyak kawalan ke atas bila atau jika mereka ingin mempunyai anak.
“Beberapa pasangan mungkin mempunyai masalah kesihatan yang membuat mereka ragu atau tidak boleh mempunyai anak serta terdapat kebimbangan tentang membawa anak ke dunia yang penuh cabaran alam sekitar dan sosial,” katanya. –UTUSAN










