Tidak guna gimik murahan - Suhaimi Sulaiman - Utusan Malaysia

Tidak guna gimik murahan – Suhaimi Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menolak tanggapan pihaknya menggunakan kontroversi yang melanda Salam Baitullah untuk menaikkan jumlah tontonan program berkenaan.

Kata Suhaimi, apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar kawalan, bukan gimik yang dirancang untuk menarik penonton menonton rancangan tersebut.

“Kami buat rancangan itu untuk mendapatkan keredaan Allah S.W.T dengan niat suci untuk bawa perkhabaran dari Tanah Suci.

“Apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar kawalan. Kami tidak gunakannya untuk tingkatkan tontonan. Itu pendekatan murahan, tidak baik dan tidak profesional.

“Kontroversi itu mungkin buat orang tertarik untuk mengenali program ini, dengan kerananya mungkin lonjak jumlah tontonan. Tapi kami langsung tidak gunakannya untuk naikkan rating,” katanya yang ditemui pada sidang media rancangan Project Big Band, baru-baru ini.

Sebelum ini, nama program Salam Baitullah meledak apabila hosnya, Ustaz Don direhatkan selama seminggu daripada program tersebut selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Bagaimanapun selepas sehari dibenarkan bersiaran, timbul pula kontroversi terbaharu sehingga menyebabkan tugasnya ditamatkan serta merta.

Dalam masa sama, Suhaimi juga memaklumkan pihaknya sentiasa membuat saringan terperinci terhadap mana-mana individu yang ditampilkan dalam apa juga program yang dipertontonkan kepada umum.

Ujarnya, amalan itu diteruskan untuk semua program yang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Itu sentiasa kita buat, bukan sahaja untuk program Salam Baitullah. Kita kena tengok kesesuaian.

“Ibarat pergi berperang, tak akan kita nak buat serang hendap, tak buat semakan terlebih dahulu.

“Apa pun mungkin selepas ini kami akan buat saringan dengan cara berbeza dan mungkin lebih berhati-hati dalam semua aspek,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×