Terima hakikat kempen beg plastik gagal

Terima hakikat kempen beg plastik gagal

Tidak ramai pengguna yang membawa beg sendiri ketika datang membeli-belah di pasar raya dan sanggup membayar caj 20 sen bagi setiap beg plastik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menerima hakikat bahawa kempen tiada beg plastik setiap kali membuat pembelian di mana-mana premis perniagaan gagal menyekat peningkatan penggunaan bahan itu di seluruh negara.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, disebabkan hal itu, kerajaan seharusnya memberi komitmen berterusan berkenaan kempen itu bagi memastikan tahap keberkesanannya terhadap masyarakat dan negara.

Katanya, dasar berkaitan sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri mahu pun tempatan juga perlu memberi penekanan kepada amalan pengurangan penggunaan plastik.

“Sudah sekian lama kempen tiada beg plastik disediakan setiap kali membuat pembelian di pasar raya dan jika mahu, pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen setiap satu, namun sehingga kini, tidak nampak kesan signifikan daripada pelaksanaannya.

“Boleh dikatakan kempen ini gagal mencapai matlamat dan sudah sampai masa untuk teliti semula langkah yang lebih proaktif dalam mengurangkan penggunaan plastik di Malaysia.

“Antara langkah yang boleh diambil termasuk kerajaan memberi insentif seperti pengecualian atau pengurangan cukai kepada industri yang menghasilkan produk yang boleh menggantikan plastik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, lebih 100 pusat pelupusan sampah yang ada di negara ini hanya mampu bertahan sehingga 10 tahun lagi apabila pembuangan plastik terus meningkat.

Ini disebabkan hampir 100 peratus rakyat tiada kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar apabila penggunaan plastik terus menjadi budaya dalam kehidupan harian mereka.

Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd Sobri Ramlee pula berkata, denda ataupun akta yang ada masih tidak dikuatkuasakan secara tegas dan menyeluruh.

“Kita sudah ada program dan kempen tentang pelupusan plastik termasuk tindakan undang-undang tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya walaupun ada premis ataupun individu yang melanggar peraturan.

“Perkara ini menyebabkan segala aktiviti dan kempen yang dijalankan tidak memberikan kesan kerana tiada pihak bertindak tegas,” ujarnya.

Sehubungan itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, perlu ada tindakan daripada pihak kerajaan untuk melarang terus penjualan beg plastik kepada pengguna yang membuat pembelian di pasar raya sebagai satu langkah permulaan mengurangkan penggunaan plastik.

Jelasnya, kaedah mengenakan bayaran untuk mendapatkan beg plastik yang dilaksanakan sebelum ini tidak lagi relevan, selain caj yang dikenakan amat murah iaitu hanya 20 sen sekeping.

“Sudah tidak relevan untuk caj pengguna yang mahukan beg plastik kerana masyarakat masih mampu untuk membelinya jika mereka mahu. Harga 20 sen bagi setiap satu beg plastik tidaklah mahal, namun penggunaannya memberi kesan buruk jika tidak diuruskan dengan betul.

“Oleh hal yang demikian, saya mencadangkan supaya kerajaan melarang terus penjualan beg plastik kepada pengguna sebagai langkah permulaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN