Tiada beg plastik di semua premis perniagaan 2025

Tiada beg plastik di semua premis perniagaan 2025

NIK Nazmi Nik Ahmad bersama Pengasas 99 Speedmart, Lee Thiam Wah pada Pelancaran Beg Kitar Semula Madani dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speedmart, Klang, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan menyasarkan tiada penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara sepenuhnya pada 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setakat ini langkah itu dilaksanakan secara berperingkat dengan bermula premis tetap kepada premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.

Beliau berkata, pihaknya memberi ruang kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan langkah itu, termasuk kadar caj yang akan dikenakan serta kekerapan serahan kutipan bahan berkenaan.

“Pendekatan kita bukan hanya denda jika peniaga masih membekalkan beg plastik pada 2025 sebaliknya, ada insentif dalam menggalakkan peralihan berkenaan,” katanya sambil menambah butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan beg kitar semula Madani dan kempen tanpa beg plastik di Wisma 99 Speed Mart di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan adalah negeri yang ke hadapan dalam pelaksanaan kempen bebas beg plastik.

Beliau berkata, kempen bebas plastik itu adalah pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di negara ini.

“Sampah plastik adalah satu masalah besar di negara ini, malah Malaysia berada di antara 10 negara dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus.

“Berdasarkan laporan Tabung Alam Sedunia (WWF), penggunaan bungkusan plastik makanan sahaja di Malaysia dianggarkan mencecah 148,000 metrik tan pada 2020. Ini bukan satu rekod yang harus dibanggakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN