Terengganu sasar hasil sumber solar 1,000 MW

Terengganu sasar hasil sumber solar 1,000 MW

ANWAR Ibrahim (tengah) melakukan gimik pada Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid di Cypark Solar Merchang, Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak 1,000 megawatt (MW) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai permulaan, projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kapasiti 400 MW.

Beliau berkata, fasa berikutnya untuk projek itu adalah sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1,000 MW atau satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025.

“Ini juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun sama,” kata ketika berucap di Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang di sini, hari ini.

Majlis peluncuran loji janakuasa solar tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Ketika ini, jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW).

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri percaya bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat, sasaran tenaga boleh baharu yang  ditetapkan akan tercapai.

Menurutnya, pembinaan tenaga boleh baharu ini akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat. 

“Terengganu akan sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam bidang tenaga boleh baharu. 

“Selain itu, kerajaan negeri juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak insentif dan dasar yang mesra alam bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN