KEPALA BATAS: Jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas akan ditawar peluang melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi bermula tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan perkara tersebut.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, adalah tidak wajar jika mana-mana pihak yang masih mempertikaikan perkara berkenaan kerana kerajaan mempunyai kaedah yang sesuai untuk memastikan pelajar cemerlang mendapat tempat.
“Apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat, maka kita akan bagi tempat. Jadi jangan tanya soal-soal bagaimana, yang paling mustahak ialah mereka yang mendapat kelulusan 10A ke atas itu akan diberikan tempat.
“Mungkin ada proses yang sebelum ini mereka tidak dapat tempat dan kita akan proses kesemuanya berdasarkan kepada bilangan yang memperoleh keputusan 10A ke atas, kerajaan bersedia untuk menyelesaikannya bermakna kita tidak hanya membuat andaian-andaian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan mempersoalkan bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota bumiputera.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, berhubung kuota pelajar bumiputera di matrikulasi, ia telah pun dijelaskan oleh Perdana Menteri di mana tidak ada kuota bumiputera yang akan dikorbankan.
“Apa yang paling penting ialah semua yang mendapat 10A ke atas seperti yang disebutkan Perdana Menteri itu akan kita bantu tempatkan. Ia pun dijelaskan oleh beliau tanpa mengorbankan apa yang ada.
“Apa yang pasti semua pelajar yang mendapat 10A ke atas itu akan diterima, akan diusahakan sehingga kita berikan tempat kepada mereka kerana mereka adalah pelajar-pelajar yang baik,” katanya.
Terdahulu, Zambry meluangkan melawat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam di sini dan merasmikan institusi itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan BrachyAcademy.
IPPT USM sebelum ini telah mendapat perhatian dunia pada 12 Februari lalu di mana BrachyAcademy iaitu sebuah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Belanda, mengisytiharkan institut tersebut sebagai pusat kecemerlangan pendidikan BrachyAcademy.
Ketika ini, IPPT merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah menggunakan teknik HyBIRT.-UTUSAN









