PUTRAJAYA: Kerajaan akan menarik balik kad fleet diesel bersubsidi daripada mana-mana pihak yang menyeleweng subsidi bahan bakar itu dan menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit.
Menerusi kad fleet yang diberikan di bawah skim subsidi bersasar, pengguna tertentu terutama sektor pengangkutan boleh membeli diesel pada harga sebelum pengapungan iaitu RM2.15 berbanding harga selepas apungan RM3.35.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 itu, kerajaan dapat mengetahui pembelian dan penggunaan diesel sama ada normal atau meningkat secara mendadak.
Katanya, ada pihak mungkin ‘kreatif’ dan masih mahu memanipulasi sistem sedia ada dan mengaut keuntungan daripada perbezaan harga diesel subsidi dan harga apungan.
“Sekiranya mana-mana pihak melanggar syarat, pemberian subsidi itu akan ditarik balik. Ketika ini, kerajaan bagi banyak kelonggaran tetapi jika mereka masih mahu mencari jalan (manipulasi) yang sepatutnya tidak boleh buat, maka perlulah berdepan tindakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini kelmarin.
Sebulan lalu, kerajaan memulakan rasionalisasi dan mengukuhkan fiskal negara dengan menaikkan harga diesel kepada RM3.35 selepas subsidi untuk bahan bakar itu melonjak kepada RM14 bilion.
Kerajaan mendakwa ketirisan terutama penjualan diesel di sempadan selain penggunaan dalam sektor komersial yang tidak layak mendapat subsidi menyumbang kepada kerugian hasil negara itu.
Keputusan merasionalisasikan subsidi diesel itu mendapat kecaman sebahagian masyarakat dan dikatakan digunakan pembangkang dalam meraih sokongan ketika Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap.
Amir Hamzah bagaimanapun mempertahan keputusan kerajaan kerana manfaat kepada negara adalah jauh lebih besar untuk jangka panjang berbanding apa yang didakwa sesetengah pihak.
Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan wang negara dibazirkan menerusi ketirisan yang berjumlah berbilion ringgit terutama dinikmati golongan yang tidak layak termasuk pihak komersial yang meraih keuntungan daripada diesel murah.
Amir Hamzah berkata, kerajaan akan memantau penggunaan subsidi diesel menerusi kad fleet dan menetapkan kuota tertentu untuk mengawal had pembelian berdasarkan fungsi syarikat pengangkutan.
“Melalui kad fleet itu, kita akan ketahui pembelian diesel secara normal atau jika ada penambahan nilai pembelian yang mendadak. Jadi, kita boleh lakukan audit dan boleh kawal kuota. Sekiranya wujud lebihan pembelian, kita boleh kurangkan kuota.
“Dalam SKDS kita tetapkan kuota, contoh bas ekspres kita sudah tahu perjalanan mereka berapa kilometer, sebab kita kira jumlah perjalanan itu,” katanya yang menambah, data itu boleh digunakan bagi mengesan sebarang cubaan untuk menipu kerajaan.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan menetapkan sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan kad fleet di bawah SKDS walaupun harga diesel diapungkan pada RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu.
Sektor pengangkutan awam darat menikmati harga subsidi diesel pada RM1.88 seliter manakala kenderaan pengangkutan barangan darat boleh membeli bahan api itu pada harga RM2.15 seliter.
Amir Hamzah berkata, kerajaan terbuka untuk berbincang dengan mana-mana sektor pengangkutan yang terkesan dengan langkah penyasaran subsidi itu.
“Seperti bas pelancongan, manfaatnya akan diterima oleh pelancong. Jika beri subsidi yang akhirnya menguntungkan pelancong, agak berat sedikitlah tetapi kami terbuka untuk perbincangan,” katanya.
Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi diesel adalah satu reformasi yang perlu dilakukan bagi memastikan orang yang layak menerima manfaat selain membantu mengukuhkan kewangan negara.
Katanya, kerajaan yakin rasionalisasi subsidi akan menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM4 bilion yang mana wang itu dilaburkan semula untuk pembinaan infrastruktur sekolah, hospital, jalan raya dan sektor lain.
“Kita terima segala ‘kebisingan’ tetapi manfaat (daripada penyasaran subsidi) jelas dan kos pembendungan juga jelas,” katanya.
Katanya, dalam tempoh sebulan sejak rasionalisasi diesel dilaksanakan, penjualan diesel di semua stesen minyak (di Semenanjung) menurun sebanyak 27 peratus tetapi pembelian komersial meningkat.
Beliau berkata, stesen minyak di sempadan mencatatkan penurunan diesel sehingga 50 peratus selain membuktikan bahawa sektor komersial juga telah menyalahgunakan subidi bahan api itu.
“Jika melihat pada data sebelum ini, kita boleh nampak, siapa beli. Tiba-tiba dulu beli dengan nilai tertentu tetapi pembelian (diesel) itu tiada.
“Rupa-rupanya mereka beli daripada penjual lain yang ambil dari stesen minyak, simpan dalam tong kemudian jual,” katanya. – UTUSAN










