KUALA LUMPUR: Genap sebulan dilantik untuk mewakili warga Israel, Avitan Shalom, peguam bela, Datuk Naran Singh memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, beliau menarik diri daripada mewakilinya.
Peguam terbabit tidak memberikan sebarang alasan spesifik kecuali menyatakan ‘menarik diri atas alasan peribadi’.
Difahamkan, peguam bela, Navinjit Singh juga telah menarik diri atas alasan yang tidak diketahui.
Ketika ini Shalom yang beralamat di Bnei Brak, Israel diwakili peguam, Jeffrey Ooi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkam Hakim Norina Zainol Abidin bahawa representasi yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara oleh Shalom pada 8 Julai lalu telah ditolak.
Sehubungan itu, perbicaraan yang telah ditetapkan selama sembilan hari bermula 30 September ini akan berjalan seperti dijadualkan.
Tarikh-tarikh lain yang ditetapkan ialah 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.
20 SAKSI BERI KETERANGAN
Pada 21 Mei lalu, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya akan memanggil 20 orang saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terbabit.
Mahkamah hari ini turut menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes selepas pendakwaan memaklumkan masih terdapat beberapa dokumen yang belum dapat diserahkan kepada pembelaan.
Dokumen-dokumen tersebut ialah laporan litar kamera tertutup (CCTV) dan analisis laporan forensik.
Tertuduh, Shalom, 38, yang memasuki negara ini menggunakan kerakyatan Perancis didakwa memperdagangkan enam jenis pistol antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang, 28 Mac lalu di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.
Enam pistol tersebut adalah Glock 19 USA 9x 19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, tertuduh didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm (8 peluru), dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali. – UTUSAN









