BESUT: Kebakaran Tapak Pelupusan
Sampah Majlis Daerah Besut (MDB) di Paya Rawa dan kebakaran belukar di kawasan bertanah gambut di Kampung Raja di sini dipercayai menjadi punca kemerosotan kualiti udara di daerah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata,
kebakaran di tapak pelupusan MDB itu telah berlaku sejak 5 Jun lalu.
Sementara itu, menurutnya, kebakaran belukar di kawasan tanah gambut Kampung Raja pula dikesan berlaku pada awal Julai dengan keluasan kawasan yang terbakar dianggarkan 30 hektar.
“Kerja pemadaman itu dilakukan dengan kaedah tambunan tanah di kawasan yang terbakar, dibantu pihak Pejabat Daerah dan Tanah Besut dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya di sini, hari ini.
Beliah berkata, kebakaran itu mengambil masa lama untuk dipadamkan memandangkan kandungan bahan organik yang tinggi di kawasan tapak pelupusan sampah, selain gas metana yang mudah terbakar serta faktor cuaca panas dan kering.
“Kerja-kerja pemadaman kebakaran sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dengan bantuan penduduk kampung.
“Keadaan tanah gambut yang tinggi bahan organik dan kebakaran di lapisan bawah tanahnya menyebabkan kebakaran mengambil masa yang lama untuk dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Razali menambah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu telah menempatkan alat pemantauan Alat Pemantauan Kualiti Uda (GRIMM) di Kolej Vokasional Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud 2 untuk mengukur tahap kualiti udara.
Tambahnya, Stesen Pemantauan Kualiti Udara Bergerak juga ditempatkan di Kampung Raja untuk memberikan maklumat kualiti udara kepada orang awam.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengingatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara. – UTUSAN











