Tangguh bicara, Sanusi boleh fokus PRK Nenggiri - Utusan Malaysia

Tangguh bicara, Sanusi boleh fokus PRK Nenggiri

Sanusi Nenggiri
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding berhubung dakwaan hasutan dihadapinya di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penangguhan terhadap perbicaraan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan hasutan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini dilihat memberi ruang kepadanya membuat persediaan bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, pada bulan depan.

Muhammad Sanusi ketika ditemui berkata, sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas, beliau bersedia untuk berdepan PRK tersebut yang dijadualkan penamaan calonnya pada 3 Ogos.

“Nenggiri…ada setiausaha agung (di sini, Datuk Seri Takiyuddin Hassan), saya pengarah pilihan raya,” katanya.

“Insya Allah kita bersedia dan perlu bersedia,” kata Takiyuddin.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin membenarkan penangguhan perbicaraan dihadapi beliau dan menetapkan tarikh pengurusan kes pada 27 September.

Keputusan tersebut dibuat selepas pasukan peguamnya yang diketuai Datuk Awang Armadajaya Awang Mahmud mengemukakan representasi kali kedua berhubung perkembangan baharu terhadap dua pertuduhan hasutan dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.

Pada Februari lalu, pihak tertuduh memberitahu mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyemak dan membatalkan pertuduhan dihadapinya, bagaimanapun dalam laporan prosiding pada Mei lalu, keputusan permohonan tersebut tidak memihak kepadanya.

Susulan itu, Hakim Aslam menetapkan tarikh 27 September ini bagi pengurusan kes dan memberitahu hanya akan menetapkan tarikh perbicaraan selepas keputusan representasi diperoleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN