Tahanan wanita dijadikan pemuas nafsu zionis - Utusan Malaysia

Tahanan wanita dijadikan pemuas nafsu zionis

Sekumpulan wanita bersama poster pemimpin rakyat Palestin yang ditahan di penjara oleh rejim zionis dalam tunjuk perasaan di Ramallah, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan wanita yang ditahan dalam penjara Israel di Gaza diarah menanggalkan baju dan sering dipaksa untuk memuaskan nafsu tentera Israel.

Warga Malaysia yang pernah menetap di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, sesiapa yang menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan mangsa tersebut, mereka akan dipukul dengan teruk oleh tentera Israel.

“Saya baru sahaja mendengar sendiri ada perempuan yang ditahan oleh tentera Israel dipaksa untuk menanggalkan baju. Ini antara kekejaman dan sikap kebinatangan mereka terhadap wanita-wanita Palestin.

“Apabila ada lelaki di dalam tahanan yang cuba menanggalkan baju untuk diberikan kepada wanita tersebut, lelaki itu dipukul dengan teruk oleh tentera Israel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, rakyat Palestin akan terus berjuang dan sudah tentu tidak akan lupa dan memaafkan terhadap perbuatan kejam tersebut.

Sehingga 8 Julai lalu, seramai 8,193 rakyat di Gaza gugur syahid sejak serangan 27 Oktober 2023 dan kawasan di Rafah masih lagi dikepung dan menghadapi kekurangan makanan, perubatan serta bekalan kemanusiaan.

Jumlah itu merangkumi seramai 529 kanak-kanak dan masih ada banyak jasad yang masih tidak ditemui kerana terperangkap di bawah timbunan bangunan-bangunan yang telah dibom.

Sementara itu, Pengerusi MyCARE, Dato’ Seri Dr. Kamal Nasharuddin berkata, baru-baru ini ada arahan daripada tentera Zionis kepada penduduk Gaza perlu berpindah ke arah selatan untuk lebih selamat daripada serangan.

“Namun, pasukan Hamas menasihatkan penduduk Gaza agar rakyat Palestin supaya tidak akur dengan arahan kerana merupakan helah daripada tentera Zionis untuk terus membunuh mangsa.

“Ramai kanak-kanak mati kebuluran kerana tidak ada makanan dan minuman yang cukup disebabkan pintu sempadan Rafah ditutup. Mereka yang tercedera juga tidak mendapat bantuan perubatan kerana banyak hospital tidak boleh beroperasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×