TELUK INTAN: ‘Saya bersyukur kerana kebetulan suami tiada di rumah semasa ribut. Kalau tidak, tak tahu apa terjadi kepadanya kerana dia mengalami masalah kesihatan.
“Biasanya, suami saya tinggal sendirian di rumah tapi semasa ribut kelmarin, dia berada di rumah emak saya’.
Demikian kata wanita mangsa ribut di Kampung Bahagia di sini kelmarin, Siti Hajar Harun, 46, yang semasa kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin, tiada di rumah.
Rumahnya antara beberapa rumah penduduk yang rosak dalam bencana alam itu. Turut diterbankan angin beberapa khemah peniaga, selain pokok tumbang.
Siti Hajar yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Teluk Intan bersyukur suaminya terselamat kerana tidak berada di rumah ketika ribut berlaku.
“Kalau dia berada di rumah semasa kejadian, tak tahu apa akan berlaku padanya kerana dia tidak begitu sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kejadian itu mendapat perhatian Perkeso Teluk Intan apabila pegawai dan kakitangannya turun padang membantu mangsa termasuk rumah Siti Hajar.
Pengurus Perkeso Teluk Intan, S. Mageswari mengetuai Skuad Perkeso Prihatin membantu mengemas dan membersihkan rumah mangsa.
Menurutnya, Siti Hajar menerima wang wakalah selama bercuti disebabkan kejadian tersebut. – UTUSAN










