GEORGE TOWN : Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengambil tindakan segera termasuk menambah tali mengikat feri selepas mendapati Feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), dekat sini hampir karam, semalam.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya turut memasang iol boom bagi mencegah tumpahan minyak dari bilik enjin selepas laporan mengenai kejadian itu diterima kira-kira pukul 3.26 pagi.
“Feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH ini mengalami kebocoran dan tidak lagi boleh dibuat pembaikan.
“Siasatan mendapati Feri Pulau Kapas karam separuh bahagian memandangkan air laut masih surut,” katanya di sini, semalam.
Menurut Soon Hin, Feri Pulau Kapas yang dibina pada 1981 itu ditamatkan operasinya sejak 31 Mei 2020 sebelum ditempatkan di PSAH.
Feri Pulau Kapas antara perkhidmatan feri ikonik di Pulau Pinang yang ditamatkan operasi pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun.
Ia kemudian digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu dan feri untuk motosikal serta basikal.
Bagaimanapun, bermula 1 Januari lalu, perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja menaik taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda di Georgetown.
Dalam pada itu, Soon Hin pada tahun 2021, SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikannya sebagai produk pelancongan di Pulau Pinang.
“Namun, hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan ditamatkan pada Februari 2023.
“Selain itu, SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli dan menyewa feri-feri ikonik namun isu utama adalah berkaitan kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang
tidak sesuai,” katanya.
Justeru, katanya, SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera. – UTUSAN











