GOMBAK: Syarikat-syarikat minuman keras dan judi yang menyumbang wang kepada sekolah-sekolah vernakular diamalkan sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amalan syarikat arak atau judi menyumbang wang ke sekolah vernakular diteruskan dalam pentadbiran kerajaan semasa.
Bagaimanapun, menurut beliau, wang kerajaan yang diperoleh hasil aktiviti perjudian dan arak tidak boleh disumbang ke pusat ibadah orang Islam.
Sehubungan itu, katanya, pembangkang (Perikatan Nasional) seharusnya menghentikan amalan itu terlebih dahulu semasa mentadbir kerajaan Persekutuan jika menganggap ia adalah salah.
“Soal syarikat-syarikat arak dan judi menyumbang kepada sekolah-sekolah vernakular dan sebagainya itu diamalkan Barisan Nasional dahululah.
“Sebab, kita berpendapat duit kerajaan hasil judi dan arak jangan kita guna sumbang ke masjid. Kita beri kepada tokong, beri kepada sekolah vernakular dan itulah amalan yang diteruskan oleh kerajaan sekarang.
“Kalau itu tidak betul, mengapa semasa mereka menjadi kerajaan mereka tidak hentikan amalan itu?
“Jadi yang ini pun ahli UMNO kena tolong bantu supaya kita dapat kembalikan kepercayaan masyarakat. Kita bukan semata-mata mengejar kuasa tetapi membina semula pengaruh dan keyakinan orang Melayu terhadap kita,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini hari ini.
Minggu lalu, tercetus kontroversi apabila konsert amal pendidikan yang bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.
Kutipan derma itu mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mengecam tindakan tersebut.- UTUSAN











