KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit di sini, semalam, baharu sahaja kehilangan cahaya mata pertama mereka, tiga bulan lalu.
Muhammad Iqwan Ahmad Izeham, 23, dan isteri, Nur Mimi Aliya Mohd. Shukri, 18, kematian anak perempuan mereka yang berusia tiga bulan akibat lemas ketika tidur di rumah.
Ibu kepada Nur Mimi Aliya, Najihah Osmam, 43, berkata, dia tidak menyangka tiga insan tersayang itu pergi buat selamanya dalam tempoh singkat setelah suaminya terlebih dahulu menghadap Ilahi pada 2012.
“Mereka berkahwin sejak awal tahun lalu dan menimang cahaya mata perempuan, namun bayi itu meninggal dunia pada Hari Raya Aidilfitri ketiga, April lalu di rumah mereka di Kampung Merang, Setiu.
“Saya tidak sangka anak perempuan dan menantu pula ‘pergi’ hanya tiga bulan selepas kematian cucu,” katanya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam semalam, Muhammad Iqwan dan Nur Mimi Aliya antara tiga yang maut setelah Proton Wira mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara.
Muhammad Iqwan meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ manakala isterinya dan penumpang Nissan Navara, Zaini Ambak, 46, maut di tempat kejadian, sementara suami Zaini, Rasdi Yaakob, 58, cedera.
Kejadian berlaku setelah kereta dipandu Muhammad Iqwan dari arah Setiu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan pacuan empat roda terbabit. –UTUSAN










