SELAYANG: Kekurangan diri disebabkan buta sepenuhnya tidak mematahkan semangat Muhamad Rafiuddin Mohamad Hisham untuk bersaing dengan rakan normal lain sekali gus meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) 2023.
Muhamad Rafiuddin, 20, dari sekolah St. John Institution berkata, dia sentiasa memberikan fokus ketika pembelajaran di dalam kelas walaupun hanya menggunakan deria pendengaran berbanding rakan lain.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ia tidak menghalangnya untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan STPM.
“Dalam kelas saya akan fokus dan lebih suka bertanya dengan cikgu terus kalau tidak faham sebelum semua itu saya bawa dalam peperiksaan.
“Selain itu, setiap hari saya akan pastikan bangun paling lambat pun 5.30 pagi dan buat solat tahajud sekurang-kurangnya dua rakaat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) 2023 di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, dia juga banyak mendapat sokongan dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa serta rakan dan guru kelas.
“Dalam kelas contohnya, kalau cikgu beri bahan, saya perlukan kawan-kawan untuk bacakan dan apabila perlu buat kerja kursus di luar, ibu bapa saya banyak bantu sepenuhnya.
“Motivasi saya sejak kecil ialah saya hendak buktikan kepada orang luar kami orang kurang upaya (OKU) boleh buat lebih baik daripada mereka dan bersaing ke peringkat lebih tinggi sebelum mencapai impian saya menjadi pensyarah,” katanya.
Sementara itu, Ananda Ishwary Solaiah Achary, 20, yang disenaraikan sebagai calon terbaik kategori Orang Asli, berkata, cabaran utama menuntut ilmu ialah perlu mendaki bukit kira-kira 15 minit dari kawasan kampungnya untuk mendapatkan akses internet dan talian telefon.
“Dekat kampung, memang susah hendak dapat ‘line’ untuk tanya cikgu atau dapatkan bahan. Biasanya saya akan berjalan kaki naik atas bukit untuk muat turun apa-apa yang berkaitan untuk saya gunakan semasa belajar pada sebelah malam.
“Kalau saya putus asa atau rasa STPM itu susah, ibu dan kakak akan banyak beri dorongan. Selain itu, impian saya hendak jadi peguam yang membuatkan saya bersemangat belajar dan mencapai keputusan cemerlang ini,” katanya. – UTUSAN










