SHAH ALAM: Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. dan Xin Jian Chang Sdn. Bhd. masing-masing didenda RM60,000 atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung stoking tertera kalimah Allah.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini Muhamad Anas Mahadzir memutuskan demikian selepas pengurus besar KK Mart, Tee Kok Hiem, 61, dan pengarah syarikat pembekal itu, Soh Hui San, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Mahkamah turut memerintahkan supaya denda itu dibayar dalam tempoh tiga hari.
Muhamad Anas dalam penghakimannya menegaskan agar syarikat-syarikat tersebut lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat muslim.
“Saya berharap KK Mart dan Xian Jian mengambil iktibar dan lebih bertanggungjawab serta memperketatkan kawalan kualiti masing-masing,” katanya.
Sementara itu, mahkamah turut melepas dan membebaskan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. dan isterinya daripada pertuduhan berkaitan stoking tertera kalimah Allah.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Chai Kee Kan, 57, dan Datin Seri Loh Siew Mui, 53.
Malah, turut diberikan perintah sama adalah tiga pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn. Bhd. yang merupakan tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Hui San. – UTUSAN










