KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 14 Ogos ini bagi keputusan berhubung kesahihan pernikahan dan sijil nikah pempangaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra dengan Tan Sri, Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra, 30, selaku pemohon pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat yang dibuat dalam kamar di sini hari ini.
“Sepatutnya hari ini adalah keputusan kes itu, namun mahkamah menangguhkannya kepada 14 Ogos ini. Keputusan itu berkaitan sama ada wujud atau tidak perkahwinan itu,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden ketika ditemui turut mengesahkan tarikh 14 Ogos ini bagi keputusan kes itu.
Semasa prosiding hari ini, Nur Fathiah dan Mohd. Bakri turut hadir ke mahkamah.
Pada prosiding terdahulu, Nur Fathiah menafikan dia pernah bernikah dengan Bakri dan menyatakan terkejut sebaik menerima satu sijil pernikahan dari negara jiran sedangkan dia tidak pernah ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai tertinggi polis itu.
Atas sebab itu, bekas calon Bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memfailkan satu permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperoleh.
Tambahnya, sebelum kes dibawa ke mahkamah hari ini, kes itu tersebut telah dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan badan agama itu kemudian telah mengesahkan sijil nikah tersebut adalah palsu.
Pada Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Bakri. Wanita itu juga menafikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Sebelum ini tular, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram (IG) di mana mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.- UTUSAN











