Stadium Shah Alam mula dirobohkan - Utusan Malaysia

Stadium Shah Alam mula dirobohkan

Stadium Shah Alam
STADIUM Shah Alam akan dibangunkan semula oleh kerajaan negeri Selangor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perobohan Stadium Shah Alam yang sebelum ini dilapor bertangguh sejak tahun lalu akhirnya bermula semalam selepas syarikat pemaju menerima permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kerja-kerja perobohan tersebut sekali gus menandakan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel dan pusat beli-belah bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di Seksyen 13 itu bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Saipolyazan M. Yusop berkata, kerja-kerja perobohan tersebut dilakukan secara konvensional dengan mengambil kira faktor keselamatan, gangguan terhadap penduduk setempat serta aliran trafik.

“Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameter pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau.

“Ini bagi memastikan seminimun gangguan kepada penduduk sekitar,” katanya selepas meninjau kerja-kerja perobohan stadium ikonik itu, semalam.

Terdahulu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim dilapor memberitahu Stadium Shah Alam hanya boleh dirobohkan selepas kesemua syarat dipatuhi oleh pemaju termasuk penyerahan pelan secara rasmi kepada MBSA.

Menurutnya, pelan Kebenaran Merancang (KM) sudah pun diluluskan pada hujung tahun lalu namun pemaju juga perlu mengemukakan pelan pembangunannya.

Untuk rekod, stadium yang dibina pada 1994 itu bakal berwajah baru sepenuhnya dengan nama baru iaitu KSSA dengan fasiliti sukan yang lebih lengkap serta bertaraf dunia.

Tambahan pula, stadium yang merupakan rumah kedua pasukan Harimau Malaya itu bakal mempunyai padang boleh alih pertama di Malaysia.

Fasa pertama yang dijangka siap pada akhir 2026 akan menyaksikan stadium utama, plaza parkir dan Terminal Pengangkutan Bersepadu dan Projek LRT3 siap dan boleh digunakan serentak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN