Setahun tiada kerja, Norlia Ghani jadi pempengaruh TikTok - Utusan Malaysia

Setahun tiada kerja, Norlia Ghani jadi pempengaruh TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon veteran, Norlia Ghani, mula mencari rezeki di aplikasi TikTok setelah setahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan.

Jelas Norlia, 75, dia meraih pendapatan sekitar RM800 sehari melalui siaran langsung dan ulasan produk di platform berkenaan sejak awal tahun ini.

“Jangan gelak ya, sebenarnya cucu saya yang ajar main TikTok. Saya tiada kandungan yang spesifik.

“Saya pun bukan buat sebab mahu jadi terkenal. Kalau itu niatnya sejak tahun 1969 lagi saya sudah dikenali.

“Cuma sudah setahun saya tiada tawaran kerja. Mana tahu ini adalah cara untuk cari rezeki. Dapat RM100 sehari pun sudah dikira banyak. Jangan sombong dengan peminat,” katanya.

Norlia ditemui Utusan Malaysia sempena Program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0, di Glanmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

Seperti pengguna media sosial lain, pelakon Mami Jarum Junior itu juga tidak terlepas daripada menerima komen negatif warganet.

“Ada juga yang komen saya ini sudah tua tidak perlukan bermain TikTok. Komen toksik begitu, saya buat tidak nampak sahaja.

“Lagi pula saya tidak kisah, kerana memang saya sudah tua. Saya kena terima,” ujarnya.

Mengulas mengenai tawaran yang semakin berkurangan, Norlia menerima dengan hati terbuka walaupun mendakwa ada kawan yang sudah melupakannya.

“Mungkin banyak drama tidak lagi memerlukan watak orang tua. Saya senang sahaja, anggap sahaja bukan rezeki.

“Ada kawan yang simpan nombor saya, tapi tiba-tiba cakap sudah tiada nombor telefon saya.

“Saya tidak marah atau dendam. Allah ada. Jika tidak dapat di jalan itu pasti akan ada jalan lain,” tambahnya.

Terdahulu, Norlia Ghani merupakan antara 20 artis yang menerima bantuan untuk Program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0.

Melalui inisiatif itu, Norlia menerima wang berjumlah RM5,000, bantuan makanan tambahan selama enam bulan oleh Afyaa Hayyiba dan pakej mengerjakan umrah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×