JOHOR BAHRU: Kanak-kanak berusia 13 tahun yang diabaikan kedua-dua ibu bapa dengan tidak dibenarkan memasuki kediaman keluarga tersebut di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini berdepan situasi itu sejak lebih setahun lalu.
“Mereka tinggal di rumah itu empat sekeluarga dan mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
“Kami sendiri hairan mengapa situasi seperti itu berlaku kerana kanak-kanak itu kelihatan normal dan bukan kanak-kanak yang bermasalah atau kurang ajar.
“Cuma pasangan ibu bapa berkenaan memang tidak bergaul dengan penduduk sejak mereka mula menetap di sini kira-kira 7 tahun lalu,” kata jiran yang mahu dikenali sebagai Din, 45, kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kawasan perumahan tersebut di sini hari ini.
Tambah Remi, kanak-kanak itu juga rajin ke sekolah walaupun tidak dibenarkan untuk memasuki kediaman keluarganya.
“Difahamkan apabila mangsa tidak dibenar masuk ke rumah, pakaian seragam sekolah diberikan ibu mangsa melalui tingkap sahaja kemudian pandai-pandai dia untuk bersiap sendiri ke sekolah.
“Sedih juga apabila tahu keadaan seperti ini berlaku, tetapi jiran bimbang untuk mengambil tindakan sendiri kerana kita tidak tahu apa masalah keluarga berkenaan,” ujarnya yang telah menetap di kawasan berkenaan sejak 15 tahun lalu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak memberitahu, pihaknya menahan pasangan suami isteri kerana menghalang anak lelaki mereka daripada memasuki rumah sehingga terpaksa tidur di kaki lima perumahan flat keluarga berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, kanak-kanak itu telah diperlakukan sedemikian sejak 7 Julai lalu sebelum diselamatkan polis, kelmarin.
Sehubungan itu, suami isteri warga tempatan yang berusia 54 dan 56 tahun itu ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










