PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan semakan kehakiman dua penggubal undang-undang untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung penggantungan Parlimen semasa tempoh darurat, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua wakil rakyat itu ialah Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari yang juga pakar perundangan.
Perkara itu ditentukan setelah panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan kedua-dua pihak memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri.
Koram berkenaan menetapkan 31 Julai ini untuk kes disebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid iaitu hakim sama yang menolak kebenaran semakan kehakiman Abdul Aziz.
Turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili responden memaklumkan perkembangan bahawa terdapat dua lagi semakan kehakiman didengar di hadapan hakim sama yang membangkitkan persoalan undang-undang serupa.
Sehubungan itu, beliau memohon semakan kehakiman Hassan dan Abdul Aziz dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan.
Sementara itu, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar bersama-sama Christopher Leong bagi pihak perayu, tidak membantah permohonan tersebut.
Pada 11 Mac 2021, Hakim Ahmad Kamal menolak permohonan Abdul Aziz dan dua pihak lagi untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat, tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Bagi Hassan pula, permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lalu.
Hassan dan Aziz memohon perintah mahkamah bahawa keputusan Kabinet Muhyiddin untuk menasihatkan Seri Paduka Baginda mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang dan tidak berkuat kuasa.
Istana Negara dalam satu kenyataan bertarikh 12 Januari 2021 mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos tahun sama sebagai langkah proaktif membendung Covid-19 di Malaysia.
Muhyiddin dalam perutusan khas sempena proklamasi darurat pada hari yang sama, menjelaskan Kabinet telah menasihatkan Seri Paduka untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara selaras dengan Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.
Bagaimanapun, Parlimen telah mula bersidang dan perintah darurat berkaitan telah ditarik balik dua tahun lalu, berikutan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia yang semakin pulih. – UTUSAN









