Selisih faham dalam hubungan punca Nur Farah Kartini dibunuh?

Selisih faham dalam hubungan punca Nur Farah Kartini dibunuh?

Wanita
NUR FARAH KARTINI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perselisihan faham dalam perhubungan dipercayai menjadi punca seorang anggota polis berpangkat Lan Koperal bertindak membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan lebih lanjut mengenai punca kematian Nur Farah Kartini memandangkan suspek akan dituduh di Mahkamah hari ini.

“Kita tidak boleh dedah lebih lanjut. Ini semua keterangan di mahkamah nanti,” katanya.

Terdahulu, Hussein mengesahkan suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

Tindakan itu diambil selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendapat arahan menuduh suspek.

“Suspek akan dituduh pada pukul 9 pagi di Mahkamah Kuala Kubu Bharu mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit salah hendaklah dihukum mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya.

Mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, pada 15 Julai lalu.

Berikutan itu, pada hari yang sama, suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat Lans Ko­peral yang bertugas di Perak telah ditahan.

Suspek berusia 26 tahun kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai sebelum dilanjutkan lagi tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes yang dikaitkan dengan kes terbabit telah dijumpai antaranya telefon pintar, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan Nur Farah.

Penemuan barang kes itu ditemui di sekitar lokasi pe­nemuan mayat mangsa selain di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Mangsa dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×