Selangor selesai lantik 373 ketua kampung

Selangor selesai lantik 373 ketua kampung

AMIRUDIN Shari (dua dari kriri) menyerahkan watikah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dilantik bagi penggal 2024-2025 di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polemik pelantikan 373 ketua kampung di negeri ini berakhir apabila penyerahan watikah lantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) disempurnakan, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan ketua kampung dibuat Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail dengan perbincangan bersama pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan peringkat negeri.

“Kita hormati Barisan Nasional (BN) yang tidak melantik wakil untuk menjadi Pengerusi JPKK. Namun, saya memberi kelonggaran kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN Selangor untuk memilih minimum 10 wakil Pengerusi JPKK.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelesaikan hal (pelantikan ketua kampung) dengan baik,” katanya pada Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah Pengerusi JPKK Kampung Tradisi Selangor.

Sebelum ini, pelantikan JPKK negeri ini menimbulkan polemik apabila UMNO Selangor mengembalikan semula 75 jawatan ketua kampung yang ditawarkan kepada parti itu.

Sebanyak 75 jawatan ketua kampung itu di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dan Dusun Tua, yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan ketua kampung yang dilantik supaya melakukan tugas sebaik mungkin supaya penduduk di kawasan mereka dapat hidup selesa.

“Saya mengingatkan supaya mereka memahami hal-hal pentadbiran (pengurusan kampung) dan sentiasa bekerjasama dengan jabatan serta agensi di bawah Kerajaan Pusat dan negeri.

“Kejayaan mereka menguruskan kampung akan memberikan impak yang baik dan positif kepada imej kerajaan negeri, sekali gus menjadi satu kayu ukur bagi rakyat membuat pemilihan parti politik mana yang mereka akan undi pada pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini