SHAH ALAM: Isteri kepada pelawak yang juga anggota polis akan dikenakan tindakan tatatertib susulan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 25 Julai lalu.
Katanya, namun setakat ini, tiada sebarang pertuduhan dibuat ke atas pelawak itu dan isterinya.
“Bagaimanapun, isterinya akan diambil tindakan oleh jabatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pelawak dan isterinya itu ditahan bagi membantu siasatan tentang penyebaran maklumat dalaman berkaitan IPD Shah Alam di sini menerusi aplikasi Telegram.
Telefon bimbit mereka turut dirampas bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berkaitan penulisan membabitkan IPD Shah Alam dan penyebaran gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan yang meninjau IPD terbabit.- UTUSAN











