KUALA LUMPUR: Pelakon, Mawar Rashid, 29, menafikan dia mengalami kemurungan selepas perceraian dengan bekas suami, Raf Yaakob.
Kata Mawar keadaan mental dan fizikalnya baik dan dia mampu bekerja untuk menyara anak-anak.
“Memang saya ada berjumpa pakar, sebab saya nak tahu keadaan (mental) saya. Tak mahulah orang fikir yang bukan-bukan tentang saya. Dan doktor sahkan saya okey.
“Biasalah, kita manusia. Ada masa kita sedih, ada masa kita gembira.
“Saya cuma mahu peminat tahu yang saya sihat mental dan fizikal, Alhamdulillah. Kalau tidak, macam mana saya nak jaga anak-anak,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran dan sidang akhbar drama bersiri Barajiwa.
Mawar dan Raf pada November tahun lalu mengesahkan sudah bercerai atas dasar tiada persefahaman.
Keputusan itu dibuat selepas bekas suami isteri itu membina bahtera rumah tangga selama enam tahun.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta dan Raden Seri Riyanna Sayang.
Dalam pada itu Mawar memaklumkan dia enggan melayan sebarang komen negatif di media sosial untuk menjaga perasaan dan kesihatan mentalnya.
“Saya tak mahu fikirkan perkara negatif. Kalau saya biarkan diri saya terkesan, susah saya nak bekerja nanti.
“Banyak perkara yang perlu saya jaga; anak-anak, komitmen dan perniagaan.
“Saya kena fokuskan kepada diri sendiri. Kalau saya sihat, saya dapat jaga dan sara anak-anak,” kongsinya.











