Saya hanya jalankan tugas - Hariz Hamdan sedia dikritik kerana babak 'jilat kaki' - Utusan Malaysia

Saya hanya jalankan tugas – Hariz Hamdan sedia dikritik kerana babak ‘jilat kaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hariz Hamdan, 22, sedia menerima kritikan ekoran babak ‘jilat kaki’ yang dilakonkannya menerusi drama X-Change.

Hariz yang membawa watak Qabil memaklumkan sekadar menjalankan tugas sebagai pelakon meskipun sedar babak tersebut bakal mengundang kecaman.

“Babak itu memang ada dalam skrip, jadi saya lebih awal tahu mengenainya. Dalam skrip ditulis cium kaki pelakon, Farah Ahmad. Tapi ketika melakonkannya, kami improvised.

“Sebagai pelakon drama ini, menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan lakonan yang terbaik, termasuklah untuk babak ini.

“Kalau ikutkan memang saya tak selesa melakukannya, ditambah pula ia dijayakan dalam keadaan hujan dan berlumpur. Memang rasa nak muntah.

“Tapi saya tolak tepi semua itu. Walau pun tak selesa, saya perlu buat kerana babak itu kena dengan watak dan jalan cerita drama ini. Tambah pula, yang saya ‘cium’ adalah kaki jurulatih lakonan kami, Farah Ahmad,” katanya.

Hariz berkata demikian selepas sidang media dan tayangan episod pertama drama X-Change, semalam.

Drama Astro Original 10 episod itu diarahkan Norhisham Muhammad dan membariskan pelakon handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Marisa Yasmin, Sadiq, Arfie Shah, Joey Leong, Steve Yap, Farah Ahmad, Angeline Tan dan ramai lagi.

Drama ini mengisahkan dilema dihadapi seorang anak yang terpaksa mengambil alih peranan bapanya melakukan jenayah rompakan.

Hariz dalam pada itu mengalu-alukan kritikan dan pandangan penonton mengenai lakonannya dalam drama tersebut.

Katanya, setiap kritikan, baik atau buruk dianggap sebahagian proses pembelajaran untuk penambahbaikan mutu lakonannya di masa akan datang.

“Saya terima komen dan kritikan sebagai perkara yang baik untuk meningkatkan mutu lakonan saya.

“Contoh dalam drama Bunga Salju, ada yang suka dengan lakonan saya, manakala ada juga beranggapan dalam sesetengah babak, lakonan saya tak sampai.

“Begitu juga halnya dengan drama X-Change. Kalau ada yang jijik tengok saya jilat kaki Farah Ahmad dalam drama ini, maksudnya lakonan saya menjadi.

“Kalau tidak, tak berjayalah saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×