PETALING JAYA: Sasaran Ekonomi Madani untuk mengukuhkan daya saing negara ke tangga 12 teratas di dunia memerlukan tindakan segera yang lebih agresif.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, sasaran itu adalah satu cabaran besar buat Malaysia.
Katanya, daya saing negara adalah antara faktor utama penentu kejayaan Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelabur dengan negara maju kebanyakan mempunyai tahap daya saing yang tinggi.
Beliau berkata, Amerika Syarikat ketika ini berada di tangga ke 12 di dunia manakala Singapura berada di kedudukan pertama dunia.
“Sasaran Ekonomi Madani bukan sesuatu yang mustahil. Malaysia pernah berada di tangga ke 12 pada tahun 2014. Namun dalam tempoh 10 tahun, daya saing kita telah jatuh ‘merudum’, terkini di tangga ke 34.
“Amat merisaukan. Jelas menuntut tindakan segera yang lebih agresif dan bersungguh-sungguh. Mesti ada pasukan yang khusus menilai, menyusun strategi, melaksana, memantau dan melapor secara berterusan.
“Semua kita, kerajaan, perniagaan dan masyarakat mempunyai peranan untuk meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Noor Azlan berkata, di antara 4 kategori daya saing, hanya segmen prestasi ekonomi yang masih bertahan dan kini di kedudukan kelapan.
Ujarnya, tiga kategori yang lain iaitu Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur (termasuk pendidikan) masing-masing di tangga ke 33, 40 dan 35.
“Semuanya jatuh secara berterusan. Tidak boleh dibiar jatuh lagi. Berbanding tahun 2014, 17 dari 20 sub-petunjuk daya saing telah jatuh, 13 dari sub-petunjuk ini kini berada lebih rendah dari tangga ke 30. Tiga terendah ialah Pendidikan (44), Perundangan Perniagaan (50) dan Produktiviti dan Kecekapan (53).
“Sasaran Ekonomi Madani untuk menjadikan Malaysia di kedudukan 12 teratas di dunia adalah satu sasaran yang sangat penting untuk Malaysia muncul sebagai jaguh Asia. Saya menyokong sasaran ini,” katanya.
Beliau memberitahu, status yang dilaporkan itu bagaimanapun bukanlah rumusan untuk Ekonomi Madani kerana negara masih mempunyai baki sembilan tahun lagi.
Justeru, katanya, kedudukan daya saing negara yang membimbangkan itu menuntut semua segera bertindak bagi menjayakan Ekonomi Madani.
“Ini misi negara kita. Kita mesti menerima status ini, mengiktiraf kejatuhan dan menjadikannya satu desakan untuk kita lebih agresif, berfokus dan komited.
“Hakikatnya ini adalah ‘peluang’ untuk kita semua bangun dengan pantas. Baki sembilan tahun cukup untuk Malaysia kembali ke tangga ke 12 di dunia dengan syarat, kita bertindak bermula hari ini. Bersama kita jayakan Ekonomi Madani,” katanya. – UTUSAN











