PUTRAJAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi tempatan, Jason Jonathan Lo gagal dalam rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Mei 2023 tidak wajar untuk diganggu.
“Mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujah pihak perayu (Jason) bahawa perkataan yang dipertikaikan perlu dilihat secara berasingan.
“Perayu gagal menunjukkan bahawa perkataan yang dipertikaikan, apabila dibaca secara keseluruhan, telah memfitnahnya.
“Oleh itu, kami menolak rayuan dengan kos dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,”kata Hakim Mariana ketika membaca penghakiman ringkas panel.
Turut bersidang dalam panel terbabit ialah Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Azman Abdullah.
Mahkamah kemudian menetapkan kos sebanyak RM15,000 yang perlu dibayar perayu kepada Bernama.
Pada 30 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Jason berhubung dua artikel yang disiarkan pada 2019 dan 2020.
Jason memfailkan saman itu pada Julai 2021 berkaitan artikel bertajuk ‘Former Telco CEO charged with trespassing, injecting drug into body’ dan ‘Court charges singer Jason Lo & colleague with CBT of RM200,000.’
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzanuddin dalam penghakimannya menyatakan bahawa mahkamah mendapati tiada niat jahat dalam artikel terbabit sebagaimana yang didakwa oleh plaintif.
“Berkenaan artikel pertama yang dipertikai, membacanya secara keseluruhan akan membawa kepada kesimpulan bahawa plaintif telah didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menceroboh dan memasukkan dadah ke dalam badan. Selepas membacanya, mahkamah mendapati plaintif bukan menceroboh sebuah rumah semata-mata untuk memasukkan dadah ke dalam badan,” kata hakim itu.
Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata, sesiapa sahaja yang membaca keseluruhan teks itu akan memahami bahawa plaintif hanya didakwa namun tidak dinyatakan sebagai melakukan jenayah tersebut.
“Membaca artikel kedua sepenuhnya, mahkamah mendapati bahawa tindakan melaporkan Jason telah didakwa atas kesalahan atau jenayah tertentu, tidak boleh dikatakan sebagai memfitnah,” katanya yang turut memerintahkan Jason membayar kos sebanyak RM15,000 kepada agensi berita itu. – UTUSAN










