Rosyam seorang yang kelakar - Arfie Shah selesa berlakon dengan Hero Malaya - Utusan Malaysia

Rosyam seorang yang kelakar – Arfie Shah selesa berlakon dengan Hero Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertama kali bekerjasama dengan Datuk Rosyam Nor dalam drama X-Change, pendatang baharu, Arfie Shah mengakui terinspirasi dengan profesionalisme yang ditunjukkan pelakon berkenaan.

Ditemui pada majlis pra tonton drama itu baru-baru ini, Arfie memaklumkan senang bekerjasama dengan Rosyam yang merupakan idolanya dalam bidang tersebut.

“Sebagai pelakon baru, memang saya gemuruh untuk berdepan dengan beliau yang merupakan Hero Malaya. Bila kali pertama berjumpa, saya jadi gugup.

“Rosyam tidak banyak bercakap ketika penggambaran di minggu pertama. Saya anggap mungkin itu cara dia beri tumpuan untuk menjiwai wataknya. Waktu itu saya runsing fikirkan macam mana untuk mulakan perbualan dengannya.

“Tapi lama kelamaan, dia mula mesra. Selepas itu baru saya tahu bahawa dia seorang yang kelakar,” katanya.

X-Change yang diarahkan Norhanisham Muhammad akan mula ditayangkan di Astro Premier, Astro GO dan platform Sooka.

Drama tersebut turut menampilkan Hariz Hamdan, Marisa Yasmin, Joey Leong, Alvin Wong, Angeline Tan, Farah Ahmad dan ramai lagi.

Arfie yang membawa watak Khalif dalam drama tersebut memaklumkan lebih awal membuat persediaan bagi memenuhi tuntutan fizikal untuk menghidupkan watak berkenaan.

“Saya sudah lama ‘buat badan’, sebelum penggambaran drama ini bermula lagi.

“Dua minggu sebelum penggambaran bermula, saya jatuh sakit, justeru terpaksa berehat daripada bersenam di gimnasium.

“Ada beberapa babak dalam drama ini yang memerlukan saya untuk tidak berbaju. Itu adalah tuntutan watak,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×