Rosmah nafi beli barangan mewah guna dana 1MDB

Rosmah nafi beli barangan mewah guna dana 1MDB

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menafikan bahawa barangan mewah merangkumi barang kemas dan beg tangan berjumlah AS$346 juta (RM1.6 bilion) dibeli menggunakan wang yang dikatakan diseleweng daripada syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dakwaan yang dibuat oleh 1MDB bahawa kesemua barangan itu dibeli menggunakan wang haram adalah satu tohmahan yang jahat dan hanya berniat untuk mengaibkannya.

“Plaintif-plaintif diletakkan atas beban pembuktian yang kuat bagi membuktikan setiap dan segala dakwaan-dakwaan mereka. Walaupun plaintif-plaintif mendakwa berlakunya penipuan oleh defendan pertama (Rosmah) namun tiada sebarang butiran penipuan diplidkan oleh plaintif-plaintif terhadap defendan pertama.

“Defendan pertama mengatakan bahawa dakwaan plaintif-plaintif di dalam tuntutan mereka adalah dakwaan-dakwaan kosong semata-mata yang mana tidak disokong dengan sebarang butiran fakta. Selanjutnya atau secara alternatif, dakwaan plaintif-plaintif di dalam perenggan-perenggan tersebut adalah dakwaan-dakwaan atau sangkaan-sangkaan jahat, palsu dan tidak berasas yang dibuat oleh plaintif-plaintif terhadap defendan pertama,” kata Rosmah.

Tambah Rosmah, pernyataan tuntutan yang difailkan oleh kesemua plaintif bersifat spekulatif dan mereka juga gagal menunjukkan bahawa kesemua barangan mewah tersebut berada dalam milikannya.

Wanita itu berkata demikian pernyataan tuntutannya membabitkan kes saman oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya yang antara lainnya menuntut Rosmah itu membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Antara barangan yang didakwa dibeli Rosmah menggunakan dana yang diseleweng ialah rantai leher bertatahkan berlian kuning (AS$1.77 juta), gelang tangan bertatahkan berlian termasuk berlian merah jambu (AS$1.2 juta) dan cincin bertatahkan berlian berbentuk rama-rama (AS$1.05 juta).

Selain itu ialah dua beg tangan jenama Hermes iaitu Hermes Rose Amethyste Croco Horse Shoe Special Order bernilai AS$130,000 dan Hermes White with Gray Croco Skin (RM2 juta). turut disenaraikan ialah jam tangan Cecil Purnell Ti bernilai RM1 juta.

Anak-anak syarikat 1MDB yang terlibat dalam saman itu ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.

Selain itu beberapa entiti pesisir luar turut disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga 11 antaranya ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Hol­dings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN