RM8.9 bilion keluar dari Akaun Fleksibel KWSP

RM8.9 bilion keluar dari Akaun Fleksibel KWSP

AMIR Hamzah Azizan semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, semalam. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM8.9 bilion dikeluarkan menerusi Akaun Fleksibel (Akaun 3) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan seramai 3.4 juta orang di bawah usia 55 tahun bersamaan 26.2 peratus daripada 13.1 juta ­ah­linya.

Timbalan Menteri Kewa­ngan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun pengeluaran menerusi inisiatif terbaharu itu tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang kumpulan itu.

“Di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa, KWSP memperuntukkan pelaburan instrumen tunai dan pasaran wang antara dua hingga enam peratus daripada aset pelaburan KWSP,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, semalam.

Mengulas implikasinya kepada ekonomi negara, beliau berkata, jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion, iaitu kira-kira 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk 2023.

“Namun, kesan sebenar pe­ngenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK negara bergantung kepada beberapa faktor termasuk kecenderungan dalam cara per­belanjaan ahli,” katanya.

Menurutnya, data terkini merekodkan sebanyak RM12.6 bilion wang caruman KWSP melibatkan 3.8 juta ahli memilih mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel setakat 19 Julai lalu.

Amir Hamzah berkata, jumlah itu bersamaan 29.3 peratus daripada keseluruhan 13.1 juta ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, manakala RM5.6 bilion pula dipindah ke Akaun Persaraan (Akaun 1).

Sehubungan itu, katanya, pindahan wang caruman ke Akaun Persaraan memberi kesan kepada peningkatan simpanan pencarum iaitu penambahan seramai 43,000 ahli baharu yang sudah mencapai simpanan asas.

Dalam pada itu, katanya, strategi alokasi pelaburan di bawah SAA akan dikaji secara berkala mengambil kira unjuran aset, liabiliti dan kedudukan kecairan KWSP serta kesan daripada penstrukturan semula akaun KWSP.

“KWSP kekal komited melindungi dan menambah nilai simpanan dengan mengoptimum portfolio pelaburan dan memberi dividen atau pulangan yang mampan selaras dengan objektif KWSP selepas persaraan jangka panjang,” katanya.

KWSP sebelum ini memaklumkan, tujuan utama penstrukturan semula akaun KWSP adalah untuk memastikan ke­sejahteraan kewangan semasa persaraan yang lebih mampan dan mengimbangi keperluan semasa ahli.

Ahli boleh membuat pilihan jika mahu mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan memindahkan sebahagian simpanan dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) ke Akaun Fleksibel mulai 12 Mei lalu sehingga 31 Ogos ini.

Pindahan simpanan adalah daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Persaraan (Akaun 1) dan Akaun Fleksibel dan pilihan amaun permulaan tidak melibatkan sebarang pindahan simpanan dari Akaun Persaraan ke Akaun Fleksibel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN