RM6 juta untuk perkasa sektor koperasi

RM6 juta untuk perkasa sektor koperasi

ANWAR Ibrahim ketika majlis penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk memperkasa dah memperkukuhkan sektor koperasi di negara ini.

Jumlah itu antaranya merangkumi RM1 juta untuk program Koperasi ASEAN bagi melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang negara ini menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu gerakan koperasi dimasukkan sebagai salah satu agenda ASEAN.

“Setakat ini belum ini lagi, saya mahu Ketua Setiausaha Negara ingat perkara ini dalam mesyuarat Kabinet minggu akan datang.

“Saya mahu koperasi dimasukkan sebagai rantaian ekonomi ASEAN. Ini penting kerana mahu penyertaan koperasi di peringkat antarabangsa,” katanya dalam majlis penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Dalam memperincikan peruntukan tersebut, Anwar berkata, kerajaan mahu sektor koperasi memacu pertumbuhan negara di samping meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, kerajaan juga menyalurkan RM2 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) untuk program Perkampungan Madani.

“Kita ada Perkampungan Madani, sekarang program ini beberapa persatuan dan masjid serta wanita, saya nak masukkan koperasi di bawahnya.

“Ada peruntukan untuk Kedai Rahmah, saya mahu sebahagian peruntukan itu bermula dengan RM2 juta disalurkan kepada Angkasa,” katanya.

Selain itu, Anwar juga mengumumkan RM500,000 untuk koperasi masjid di desa dan RM500,000 iaitu latihan meningkatkan kompetensi koperasi desa yang disalurkan kepada Angkasa.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, beliau akan membawa agenda koperasi masjid dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya wujud usaha untuk membina kekuatan koperasi membabitkan institusi masjid.

“Ia supaya dibincangkan dalam MKI mengikat kerjasama negeri-negeri supaya masjid itu dimanfaatkan untuk membina kekuatan koperasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN