KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ogos depan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Mohamed Khaled akan menjadi saksi prosiding itu bersama dengan tiga lagi bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT.
“Prosiding LTAT dijadualkan disambung pada 7 Ogos ini selepas PAC mengadakan prosiding pertama pada 20 Jun lalu,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT yang akan dipanggil ialah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raha Mohamed Noor; bekas Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.
Pada Mac lalu, Mohamed Khaled berkata, beliau sedia memberi kerjasama berhubung kedudukan kewangan LTAT kepada PAC susulan baki rizab LTAT yang negatif direkodkan sejak tahun 2020 hingga 2022. – UTUSAN










