KUALA LUMPUR: Restoran makanan Timur Tengah popular di Bukit Bintang, di sini, antara lima premis yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, petang tadi.
Serbuan Op Menu bermula kira-kira 5 petang itu dijalankan terhadap lima premis restoran pelbagai jenis yang menjadi tumpuan pelancong.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, fokus operasi ini melibatkan pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta pematuhan perundangan halal mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
“Lima restoran telah diperiksa hari ini dan tiada kesalahan dikesan.
“Pemilik mematuhi peraturan, namun ada teguran diberi seperti perlunya tanda harga dengan lebih jelas. Contohnya harga itu disertakan sekali dengan kuantiti makanan yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi ini penting bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna terutama di kawasan tumpuan pelancong.
Jelas, pemilik restoran boleh berdepan tindakan sekiranya pihaknya mendapati premis itu mempamerkan logo Halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Justeru, operasi ini turut memantau logo tanda Halal yang sama ada mendapat kelulusan pihak berwajib.
“Selain itu, kita turut memeriksa sama ada semua premis itu mempunyai permit barang kawalan yang dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan barang kawalan seperti gula, tepung, minyak masak dan gas LPG.
“Secara keseluruhan kita dapati semua premis diperiksa hari ini didapati tidak melakukan sebarang kesalahan serius, dan hanya diberikan teguran atas beberapa perkara,” katanya.
Menurut Mohd. Sabri, antara teguran yang dibuat adalah menyarankan premis menyediakan menu dengan tanda harga yang lebih jelas bersama kuantiti makanan atau gambar yang sebenar.
Jelas beliau, Op Menu dijalankan secara berterusan sepanjang tahun.
“Berdasarkan operasi sebelum ini, kita ada mengambil tindakan mahkamah serta denda ke atas premis.
“Untuk rekod, tahun ini sepanjang enam bulan sejak Januari, sebanyak 50 kes penandaan harga dengan jumlah nilai kompaun RM15,000 telah diambil ke atas pelbagai premis termasuk kedai makan dan runcit,” ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, premis restoran atau kedai makan diingatkan untuk memohon Permit Barang Kawalan Berjadual jika menyimpan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum melebihi kuantiti dibenarkan.
“KPDN Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat salah laku restoran atau premis menjual makanan supaya tampil membuat aduan untuk tindakan segera,” katanya.- UTUSAN










