SUNGAI PETANI: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Lembah Bujang, Bedong pada Jumaat lalu ditemui selamat di Taman Jubli Perak, di sini malam tadi.
Bapa gadis itu, Abdul Rahman Jaafar, 50, berkata, anaknya, Nur Dini Hayati, 18, ditemui merayau di lokasi itu oleh orang awam kira-kira pukul 10 malam.
“Orang awam berkenaan menelefon saya bagi memaklumkan penemuan itu sambil mengawasinya untuk mengelak anak saya meloloskan diri.
“Saya dan isteri, Laila Abdullah, 47, bergegas ke lokasi dan menemuinya dalam keadaan selamat sebelum membawanya balai polis untuk membuat laporan berhubung penemuannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdul Rahman, anaknya memaklumkan dia menjadikan surau di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini sebagai tempat tidur selama menghilangkan diri.
“Pada sebelah siang dia akan bertemu rakan yang dikenali melalui media sosial dan apa yang dimaklumkan dia bertindak melarikan diri dari rumah kerana mengikut gerak hatinya.
“Kami sekeluarga bersyukur dengan penemuannya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang turut membantu mencarinya selain menyalurkan maklumat hingga anak kami ditemui,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kehilangam seorang remaja perempuan hampir seminggu lalu menyebabkan keluarganya bimbang dengan keselamatan dan keadaan kesihatannya ekoran dia banyak bergantung kepada ubat kerana menghidap sawan.
Kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu disedari pada pukul 6.20 petang, Jumaat lalu semasa bapanya berada di dalam bilik air manakala ibunya berkemas di dapur.
Ketika keluar menunggang motosikal jenis Honda Wave itu, Nur Dini Hayati dikatakan tidak membawa sebarang barangan termasuk pakaian.-UTUSAN











