DHAKA: Kemudahan internet beransur pulih di Bangladesh bermula hari ini, selepas beberapa hari terjejas akibat protes ganas berhubung bantahan kuota penjawat awam yang meragut 173 nyawa.
Menteri Telekomunikasi dan ICT, Zunaid Ahmad Palak berkata, pemulihan itu melibatkan sektor penting seperti perbankan, komersial, teknologi, eksport dan media, lapor Daily Star.
“Buat masa ini, media sosial masih belum boleh digunakan. Perkhidmatan internet di seluruh negara akan pulih secara beransur-ansur,” katanya pada satu taklimat kepada Suruhanjaya Kawalan Telekomunikasi Bangladesh (BTRC), hari ini.
Pada masa sama, kementerian dan BTRC turut menafikan dakwaan kerajaan mengarahkan pemotongan rangkaian internet di negara itu.
Sebaliknya, ia berlaku disebabkan tindakan penunjuk perasaan merosakkan peralatan jalur lebar di sebuah pusat data di Mohakhali, Dhaka.
Pegawai di pusat data itu berkata, satu kebakaran tercetus selepas kumpulan penunjuk perasaan merempuh masuk Jabatan Pengurusan Bencana yang terletak di sebelah premisnya.
“Kebakaran itu telah merosakkan kabel jalur lebar di premis kami,” katanya.
Jumaat lalu, rangkaian internet di seluruh Bangladesh lumpuh sepenuhnya susulan protes pelajar terhadap kerajaan yang menuntut kuota pekerjaan kakitangan awam disemak semula.
Susulan protes itu, Mahkamah Agung Bangladesh kelmarin membatalkan kuota tersebut, menyaksikan 93 peratus peluang kerja dibuat berdasarkan merit.











