DAHULU, mandi bunga sering dikaitkan untuk mempercepatkan jodoh tetapi kini ramai mengamalkannya untuk mencari kerja.
Amalan itu menjadi pilihan rata-rata wanita muda sebagai alternatif untuk membina keyakinan diri apabila menghadapi temu duga.
Pemilik Spa Bayu, Norzila Hussin berkata, trend itu dipercayai makin popular dalam kalangan pelanggannya sejak tiga tahun kebelakangan
ini.
“Sebenarnya sesiapa pun boleh mandi bunga sama ada yang bujang, sudah berkahwin atau bakal pengantin.
“Amalan ini diketahui mampu menaikkan seri, memberikan aura positif dan mengharumkan tubuh badan.
“Selain itu, mandi bunga dapat membantu pencari kerja agar lebih relaks, tenang, yakin dan tidak gugup ketika sesi temu duga berlangsung,”
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

M. JOHARI
Mandi bunga turut digemari golongan wanita bekerjaya dan suri rumah untuk melegakan kepenatan serta menenangkan jiwa.
Lebih-lebih lagi jika individu itu dilanda kemurungan atau terlalu banyak berfikir tentang masalah dihadapinya.
Jika berdepan situasi tersebut, Norzila menggalakkan kaum hawa untuk mencuba terapi mandi bunga sekali gus dapat menikmati ruang me time dengan berendam selama 20 minit.
Sementara itu, mengulas tentang pemilihan bunga, katanya, semua jenis flora boleh dijadikan ramuan untuk mandi asalkan tidak bergetah
bagi mengelak risiko alergi pada kulit.
Antara yang biasa digunakan ialah mawar, cempaka dan melur di samping limau purut dan susu.
“Di zaman serba moden ini, cara mandi bunga pun turut berubah. Kalau mahu buat sendiri di rumah, belilah apa sahaja bunga yang mudah didapati di kedai-kedai.
“Seeloknya, jumlah bunga mestilah dalam bilangan ganjil sama ada lima atau tujuh di samping berlainan jenis dan warna,” katanya.
Manakala waktu mandi pula, ujarnya, terpulang kepada kelapangan seseorang dan tiada sebarang pantanglarang yang kononnya ia perlu
dilakukan selepas waktu Asar atau tengah malam.
MANDI BUNGA UNTUK KEPALA
Amalan mandi bunga sering dikaitkan dengan rendaman badan, namun kini terdapat terapi sama yang memfokuskan pada kepala sahaja.
Perkhidmatan dikenali sebagai mandi bunga Korea itu pertama kali diperkenalkan di negara ini hasil kajian ahli trikologi dari China, Andy Peng.
Beliau yang juga pengasas bersama TTE Elephant Headspa Malaysia berkata, idea itu tercetus kerana menyedari manfaat besar bunga-bungaan kepada kesihatan kulit kepala.
Selain itu, ia juga mampu meningkatkan kualiti tidur dan melegakan tekanan.
Sebanyak 12 jenis bunga disediakan iaitu ros, melur, camellia, telang, lavender, calendula, cherry blossom, peony, kamomil, lili, kekwa dan peach blossom.
Menariknya, pelanggan boleh memilih tiga bunga bagi dijadikan bahan ramuan untuk mandi.
Ketiga-tiga bunga itu akan direbus terlebih dahulu bagi mendapatkan patinya.
“Pati itu kemudian dicampur dalam air berserta bahan aromaterapi dan beberapa kelopak bunga.
“Istimewanya, kita menggunakan mesin khas yang membolehkan air mengalir dan membasahi kepala pelanggan dengan haruman wap yang
menenangkan jiwa,” katanya.










