JOHOR BAHRU: Rakyat Johor berbilang kaum dan pelbagai latar belakang teruja menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
Seramai kira-kira 50 penduduk Taman Cempaka di sini berkumpul seawal pukul 8 pagi bagi menyaksikan istiadat penuh bersejarah yang dianjurkan Jabatan Penerangan Johor.
Pesara kerajaan, A. Soaganathan, 69, berkata, peristiwa itu menjadi lebih istimewa apabila Sultan Ibrahim yang sebelum ini menaungi Johor ditabalkan selaku ketua negara, sekaligus menaungi Malaysia.
“Saya berasa bangga kerana Sultan Johor telah ditabalkan menjadi Agong. Sebelum ini baginda memimpin negeri jadi selepas ini baginda akan memimpin negara.
“Sebagai rakyat Malaysia saya yakin baginda mampu bawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, lebih makmur dan sejahtera untuk semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di Viewing Party di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Cempaka, di sini hari ini.
Seorang pekerja swasta, Thomas Yong Kim Sing, 58, pula memberitahu, dia rasa bangga kerana dapat sekali lagi menyaksikan detik istimewa itu seperti yang disaksikan 40 tahun lalu ketika Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 1984.
“Pada 1984, saya ketika itu masih remaja lagi tetapi saya ingat. Jadi detik ini berulang apabila Sultan Ibrahim ditabalkan selaku Yang di-Pertuan Agong, sama seperti ayahanda baginda.
“Sebagai rakyat Johor pastinya saya gembira kerana Sultan kita menjadi Agong. Ini satu peristiwa bersejarah yang bukan mudah untuk disaksikan. Saya yakin baginda akan pimpin Malaysia dengan baik,” katanya.
Bagi murid tahun lima, Muhammad Qayyum Abdullah, 11, dia bangun seawal pukul 6 pagi untuk mengajak kawan-kawannya menyaksikan istiadat itu bersama-sama.
“Ini pertama kali saya saksikan peristiwa seperti ini. Rasa bangga juga menjadi rakyat Johor.
Selain itu, saya dan kawan-kawan dapat ilmu baharu tentang institusi raja di negara ini,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, di sini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yakin Sultan Ibrahim akan dapat memacu negara ke tahap lebih tinggi, seperti yang telah baginda lakukan di negeri Johor sebelum ini.
“Dahulu Sultan Ibrahim menaungi Johor, tetapi kini baginda menaungi Malaysia. Sebagai rakyat negara ini, kita harap kemakmuran, ekonomi, pendidikan dan juga kebahagian hidup rakyat dapat ditingkatkan,” katanya.-UTUSAN











