NIBONG TEBAL : Seramai 24 peratus pengundi telah keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sehingga pukul 11 pagi, hari ini.
Data terbaharu itu dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun kepada pemberita hari ini.
Menurut Ramlan, secara keseluruhannya, proses pengundian berlangsung dengan baik dan tenteram di semua pusat mengundi setakat ini.
“Saya berharap agar pengundi-pengundi turun mengundi lebih awal kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada sebelah petang nanti (cuaca buruk dan lain-lain),” katanya.
Beliau ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan memberitahu, ketika ini, jumlah pengundi muda, dewasa serta warga emas boleh dikatakan agak seimbang di semua sembilan pusat mengundi yang dibuka.
“Ada beberapa saluran kita tengok pengundi muda lebih banyak daripada warga emas dan sebaliknya. Apa yang saya boleh katanya ialah seimbang kerana ramai juga pengundi muda yang keluar awal,” kata beliau yang berharap peratusan pengundi yang keluar mengundi akan bertambah selepas ini.
Sementara itu, Ramlan memberitahu, SPR tidak menerima sebarang laporan salah laku yang serius sepanjang hari pengundian pada PRK ini.
“Cuma ada sedikit kesalahan kecil yang dah diambil tindakan oleh pihak yang berkaitan. Tiada kesalahan besar atau laporan serius yang kita terima,” ujar Ramlan.-UTUSAN










