Program bekal akhbar ke sekolah diharap tingkat budaya membaca

Program bekal akhbar ke sekolah diharap tingkat budaya membaca

ZAINAL Abas menyantuni murid sekolah pada Karnival Penggalakan Sukan Kementerian Pendidikan-Felda di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka, Maran, Pahang, semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerajaan berharap dapat mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid dan guru menerusi program membekalkan akhbar arus perdana termasuk Utusan Malaysia ke 10,220 buah sekoah di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Zainal Abas berkata, program yang ber­mula Mei lalu itu bertujuan menggalak dan memperkasakan tabiat membaca dalam kalangan lebih lima juta pelajar sekolah.

Menurutnya, di samping itu murid dan pelajar sekolah juga dharap dapat menguasai baha­sa Melayu dengan baik dan me­ning­katkan pengetahuan am serta mengetahui peristiwa pen­ting di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian Pendidikan ber­setuju menyalurkan peruntukan khas melalui perpustakaan atau pusat sumber sekolah mem­beli surat khabar arus perdana untuk bacaan murid-murid dan guru-guru,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas meras­mikan Karnival Penggalakan Su­kan Kementerian Pendidikan-Fel­da Peringkat Kebangsaan tahun 2024 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka di sini.

Zainal yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah menegaskan, kementerian itu mengambil inisiatif memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di negara ini, dengan membudayakan amalan membaca akhbar di sekolah.

“Bagi menjayakan inisiatif itu, Kementerian Pendidikan meminta sekolah-sekolah me­langgan akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian yang merupakan akhbar utama berbahasa Melayu di negara ini.

“Pasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baharu-baharu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ng­umumkan baucar RM50 dan RM100 untuk murid sekolah rendah dan menengah bagi membeli bahan bacaan seperti surat khabar.

“Ini merupakan usaha murni kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai murid menjadikan amalan membaca sebagai hobi berfaedah demi masa depan yang menjanjikan kemajuan dan daya saing,” katanya.

Tambah beliau, pembelian akhbar adalah perkara biasa membabitkan sekolah-sekolah tetapi Kementerian Pendidikan menyalurkan peruntukan tambahan supaya membeli banyak akhbar utama selaras jumlah murid dan pelajar sesebuah sekolah.

“Banyak bahan di akhbar seperti Utusan Malaysia ada sisipan khas Utusan Pelajar dan ruangan tulisan Jawi yang boleh digunakan sebagai bantuan pem­belajaran dan bahan rujukan yang relevan,” katanya.

Jelasnya, ini sejajar hasrat kementerian untuk memperkasa tulisan Jawi di sekolah rendah dan menengah melalui pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN