SEREMBAN: Ramai yang masih tidak mengetahui bahawa minyak masak terpakai boleh dikitar semula dan mampu menjana pendapatan.
Pensyarah Kanan di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Saliza Mohd. Elias berkata, minyak masak terpakai boleh menghasilkan produk-produk berkualiti seperti sabun basuh pinggan, lilin dan cecair pencuci tangan.
Melihat kepada potensi yang ada itu, beliau justeru membawa idea itu kepada pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jati, Nilai di sini.
Katanya, semua produk itu dilihat boleh dijadikan sebagai sebahagian aktiviti dalam komuniti berkenaan dan menjadi sumber kewangan kepada KRT itu.
“Sebelum menyertai KRT pada Februari 2022, saya membuat sabun daripada minyak masak terpakai di rumah untuk kegunaan sendiri.
“Setelah menjadi ahli jawatankuasa KRT, saya dan Pengerusi KRT ini telah menyertai Program Rintis Kursus Pemerkasaan Projek Inovasi Ekonomi Komuniti Rukun Tetangga (RT) pada tahun lalu dan ketika itu setiap KRT yang menyertai perlu membawa sampel produk projek yang ingin diketengahkan.
“Dengan berbekalkan tiga buku kecil sabun yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai, kami mempertaruh prototaip produk sabun tersebut sebagai produk yang akan kami usahakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya, sejak itu penghasilan produk dengan menggunakan minyak masak terpakai telah menjadi aktiviti yang menjana pendapatan KRT Taman Desa Jati Nilai.
“Modal permulaan adalah menggunakan sebahagian kecil dari peruntukan geran tahunan KRT selain geran yang ditawarkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti, UPM.
“Produk inovasi pertama yang kami hasilkan adalah sabun pencuci serbaguna dalam bentuk buku yang menggunakan jenama Recia. Setelah setahun kami memperkenal produk kedua iaitu lilin wangi.
“Mulai 2024, kami mengeluarkan pula cecair pencuci pinggan, semuanya diolah daripada minyak masak terpakai dan dihasilkan secara buatan tangan,” katanya. – UTUSAN









