
BAHANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan makin dirasai apabila kedua-dua parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengumumkan calon masing-masing.
Menariknya, PN mengikut jejak BN dengan meletakan orang muda sebagai calon iaitu bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd. Rizwadi Ismail, 41, untuk mewakili gabungan itu.
Pengumuman Mohd. Rizwadi itu menimbulkan perdebatan hangat apabila dia difahamkan baru menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, Bersatu beruntung apabila jentera dan ahli Pas tidak goyah dengan perkara tersebut malah meletakan perjuangan parti lebih ‘mulia’ berbanding batang tubuh calon.
Tindakan menamakan Mohd. Rizwandi itu merupakan ‘senjata’ PN dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Nenggiri selain menggunakan simbol bulan.
Kehadiran Mohd. Rizwandi itu dibuat selepas PN dilihat sedikit ‘tergugat’ sejurus BN menamakan Ketua Pemuda UMNO negeri Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, 37, sebagai calon.
Hal ini kerana Mohd. Azmawi Fikri cukup dikenali oleh penduduk setempat selain sudah memulakan kerja-kerja kempen dengan aktif sebaik sahaja diumumkan sebagai calon.
Bagaimanapun, Mohd. Azmawi Fikri sebelum itu sudah aktif turun padang menyantuni penduduk sejak pandemik Covid-19 dan usaha itu berterusan sehingga hari ini.
Bukan itu sahaja, jumlah keseluruhan 20,259 pengundi yang terdiri daripada golongan muda membuatkan PN tidak senang duduk kerana kumpulan itu akan menjadi penentu kemenangan 17 Ogos ini.
Dalam PRK lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.
Kerusi Nenggiri kosong selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah membuat pengumuman pada 13 Jun lalu.
Ia dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi Abu Naim
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos. – UTUSAN










